Selain itu, tujuh tahun selepas menyaksikan kemusnahan besar di New Orleans, sistem keselamatan dan binaan penahan banjir kota itu sekali lagi akan diuji taufan Isaac yang membawa angin kencang dan hujan lebat mulai semalam di Louisiana, selatan Amerika Syarikat.
Terputus bekalan elektrik
Taufan Bolaven menjadi punca beribu-ribu penduduk Korea Selatan terputus bekalan elektrik, membatalkan penerbangan, hampir 100 keluarga hilang tempat tinggal dan tanah pertanian bercucuk tanam selain menyebabkan dua kapal nelayan China melanggar batu di perairan selatan Pulau Jeju menyebabkan tujuh maut dan lapan hilang.
Bolaven diramal membawa angin kencang dan ribut ke wilayah timur China, Shandong dan Jiangsu selain Shanghai.
Jiangsu sudah memindahkan lebih 23,000 penduduk selain menghentikan khidmat feri di Tasik Taihu.
12 nelayan diselamatkan
Pengawal pantai Korea Selatan menyelamatkan 12 nelayan China dan enam lagi berenang ke tepi pantai atau ditolak ombak ke tepian. Empat lagi maut di tempat lain di Korea Selatan.
Media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA) pula melaporkan bahawa angin kencang Bolaven menyebabkan bumbung sebuah stesen elektrik tercabut, memutuskan bekalan kuasa di bandar Kaesong selain merosakkan banyak kawasan pertanian.
Angin kencang dan hujan lebat juga melanda ibu kota negara itu, Pyongyang, tetapi tidak menyebabkan kematian sekadar menyebabkan air naik di jalan raya.
Taufan Tembin dijangka tiba di Korea Selatan mulai hari ini membawa angin selaju 30 meter sesaat dan menuju Korea Utara, esok.
Kelmarin, Tembin menyebabkan tiga penduduk yang tinggal dekat pantai cedera di Taiwan selepas bumbung rumah tercabut dirempuh ombak setinggi enam meter.
Taufan berkenaan berlaku ketika Korea Utara cuba membantu penduduknya dari segi makanan, tempat berlindung, penjagaan kesihatan dan air bersih selepas dilanda banjir pada Julai lalu.
Bah itu menyebabkan 170 maut di Korea Utara selepas beribu-ribu kediaman musnah dihanyutkan air, menurut laporan rasmi negara itu.
Taufan Isaac landa Louisiana
Di NEW ORLEANS, taufan Isaac mula melanda selatan Louisiana dengan angin kencang dan hujan lebat sehingga 50 sentimeter mulai semalam dan dijangka tiba di New Orleans awal hari ini.
Isaac adalah taufan pertama melanda Amerika tahun ini. Meskipun tidak sekuat Katrina iaitu ribut kategori 3 ketika melanda pada 29 Ogos 2005, Isaac yang berada dalam kekuatan kategori 1 mengingatkan semula kepada keadaan selepas Katrina. - AP/Agensi
No comments:
Post a Comment