Followers

Thursday, August 2, 2012

Gaji Wajib Dizakat- Harian Metro 5 Jan 2012 « Blog Abang Choy

Gaji Wajib Dizakat- Harian Metro 5 Jan 2012 « Blog Abang Choy:



RAMAI orang tahu zakat adalah wajib, namun ramai juga yang kurang mengetahui bahawa zakat yang dimaksudkan tidak terhad kepada zakat fitrah saja sebaliknya ia turut meliputi pendapatan yang diperoleh setiap bulan.
Sama ada pendapatan individu atau syarikat perniagaan, jumlah disumbangkan dapat membantu golongan memerlukan, malah dengan berzakat ia menambah keberkatan hidup kita.
Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri dengan Pengurus Operasi, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman, (gambar) mengenai kepentingan melunaskan zakat pendapatan.
Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?
Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.
Namun, jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka peroleh wajib dikenakan zakat.
Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter PPZ.
Melalui perangkaan yang kami peroleh, jumlah pembayar zakat untuk tahun lalu adalah seramai 93,225 orang namun kebiasaannya hanya 90 peratus saja tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.
Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.
Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat. Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri.
Mereka juga boleh mengunjungi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau melayari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.
Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak-anak serta isteri. Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan individu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.
Setiap tahun, jumlah pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100 peratus dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?
Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.
Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta rebat sebanyak 2.05 peratus untuk syarikat yang membayar zakat perniagaan.
Ia secara tidak langsung dapat menggalakkan pembayar zakat menjalankan tanggungjawab mereka. Malah, untuk tempoh jangka panjang, kami juga merancang menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran serta memberi pendedahan awal kepada bakal pembayar termasuk pelajar universiti yang bakal menjengah alam pekerjaan atau perniagaan untuk melaksanakan peranan mereka.
Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayaran zakat pendapatan dan perniagaan.
Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil. Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan.
Dengan pelbagai kemudahan, tidak ada alasan untuk kita tidak membayar zakat.
Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment